Latest Entries »

Rasa dah tak sabar dan ditambah lagi dengan keinginan untuk memasak sup ayam dengan labu kundur, saya mengambil keputusan untuk cuba menuai sebiji labu kundur dari belakang rumah saya pada petang semalam. Sebenarnya saya sendiri kurang pasti bagaimana untuk mengenalpasti bila labu kundur ini matang. Ada kawan-kawan mengatakan bahawa apabila sudah ada bedak putih di badan labu itu, maka ia sudah sesuai untuk dituai. Dua biji labu kundur yang paling awal membesar saya pilih salah satunya untuk dituai.

Image

Inilah, labu kundur pertama segar dari kebun saya. Saya bersama rakan saya memang sudah merancang untuk memasak sup ayam dengan herba cina dan ditambah dengan labu kundur yang sangat segar ini. Apabila dibelah, saya mendapati bahawa labu ini sebanrnya belum cukup matang. Ini boleh dilihat apda strultur bijinya. Lagipun kalau tidak silap saya, labu ini adalah labu kundur wangi, tetapi ini belum mengeluarkan bauan wanginya lagi. Tapi, apa-apa pun ini adalah hasil pertama kebun saya yang tidak menggunakan baja dari kedai cuma sisa makanan dan juga baja kompos THM. Saya juga tidak menggunakan racun serangga, cuma menggunakan dua jenis penghalau serangga perosak iaitu cecair penghalau berasaskan bawang putih dan yang saya peroleh dari rakan sya.

Image

Enak sungguh sup ayam ini. Tapi masak terlampau banyak. Setengah kilo ayam dan setengah biji labu kundur untuk kami berdua sahaja. Memang tak habis makan. Simpan untuk hari ini, makan tengah hari dengan sup yang sama lagi. Tak apa, yang penting rasanya masih sedap. (^-^)

Dah beberapa minggu tidak mengemaskini blog tentang tanaman saya ni sebab tugasan yang agak sibuk. Tetapi, saya tidak pernah lupa untuk menjaga tanaman saya di belakang rumah. Melihat hasilnya yang semakin baik menyebabkan saya semakin bersemangat untuk merealisasikan hobi saya ni. Saya menharapkan agar saya dapat merasa hasil pertama dari kebun kecil saya ini.

Saya kongsikan gambar terbaru yang baru saja saya ambil pada pagi ini. Buah labu kundur dah ada lapan biji yang sudah membesar sekarang, satu biji sudah dimakan oleh tikus (agak-agaknyalah sebab dari cara gigitan seperti tikus). Manakala, labu kuning pula ada dua biji yang sudah membesar. Sebenarnya ada banyak yang mengeluarkan bunga dan menjadi buah tetapi banyak yang gugur semula. Nampaknya labu kuning ini sangat sensitif pada kehadiran saya yang sering pergi ke sana untuk memeriksa serangga dan ulat di pucuk-pucuk muda labu putih. Hmm…

 

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Saya ada sedikit rasa kecewa sebab selepas membuat sekali semburan tersebut, saya meninjau kembali pada waktu petang dan emndapati masih ada banyak kumbang ‘menikmati’ daun dan bunga labu kundur saya. Saya berasa agak hairan kerana kumbang lebih berminat pada pucuk muda, daun dan bunga labu kundur berbanding dengan labu kuning. Jadi saya perlu mencuba kaedah-kaedah lain dan diharapkan kalau ada di antara pembaca blog saya mempunyai kaedah pertanian organik untuk menghasilkan penghalau serangga perosak, sila-sila lah tinggalkan komen di dalam blog saya. Terima kasih.

Di bawah ialah gambar-gambar yang saya ambil semasa saya menyediakan cecair penghalau serangga perosak yang berasaskan bawang putih.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Ini la nama yang saya berikan kepada projek kebun di rumah saya. Di sini saya kongsikan beberapa gambar yang saya ambil dua hari yang lalu di sekitar kebun saya.

Tanaman saya kini menghadapi masalah serangan kumbang (Ladybird), ulat, dan beberap jenis kumbang lagi. Pada mulanya, saya tidak melihat masalah ini sebagai serius dan hanya membiarkan saja, walaupun setiap kali saya menyiram labu-labu ini saya akan membunuh kumbang dan telur-telurnya. Tetapi, kumbang-kumbang ini sangat cepat menyelamatkan diri. Keadaan daun labu kundur sangat teruk disebabkan oleh ulat pemakan daun dan juga kumbang-kumbang yang nampaknya sangat berminat pada daun dan buah muda labu kundur ini. Saya mendapati beberapa sulur memanjat labu kundur ini kelihatan terbantut dan buahnya banyak yang tidak menjadi menyebabkan saya mulai risau. Saya cuba untuk mengelak menggunakan racun serangga pada tanaman saya. Oleh sebab itu, saya mulai mencari informasi di laman sesawang dengan harapan akan menemui satu cara untuk menghalau serangga-serangga ini.

Terdapat beberapa kaedah telah saya temui dan ini adalah salah satu daripadanya dan saya telah membuat semburan ini yang dikenali sebagai semburan bawang putih (Garlic Spray). Bahan-bahan dan cara membuatnya adalah seperti berikut:

Bahan-bahan:
1 tangkai (bukan ulas) bawang putih
1 liter air
1 biji bawang merah saiz sederhana
1 sudu makan cayenne pepper (saya telah pandai-pandai mengubahsuai bahan ini kepada cili padi)
1 sudu makan cecair sabun cuci pinggan

Cara menyediakannya:
1) Tumbuk bawang putih sehingga lumat.
2) Cincang halus bawang merah dan begitu juga dengan cili padi.
3) Campurkan bawang putih, bawang merah dan cili padi ke dalam air dan gaul sehingga sebati. Biarkan larutan ini selama satu jam. Campuran pedas ini akan kelihatan pekat dan warnanya seakan-akan air teh.
4) Sejam kemudian, campurkan cecair sabun pencuci ke dalam larutan tadi. Kini semburan anda telah siap untuk digunakan. Semburan ini boleh bertahan selama seminggu sekiranya disimpan di dalam peti sejuk.

SELAMAT MENCUBA!!!

Saya sudah menggunakan semburan saya pada pagi ini dan saya akan kongsikan kesannya dalam entri akan datang. Kongsikan juga pengalaman anda bersama saya.

Kerap kali kita mendengar tentang baja organik atau baja kompos. Sayuran-sayuran yang dilabel sebagai tanaman organic semakin mendapat sambutan daripada pengguna. Situasi ini disebabkan orang awam semakin menyedari akan bahaya bahan kimia seperti racun serangga, racun rumpai dan baja urea yang digunakan oleh pekebun-pekebun sayur terhadap kesihatan manusia. Oleh sebab itu jugalah, saya terlibat secara langsung dalam program penghasilan baja kompos bersama-sama belia di Sipitang pada tahun 2010-2011. Pada mulanya, saya telah menjadi coordinator untuk menjalankan satu bengkel kesedaran alam sekitar untuk belia-belia iaitu anak-anak pekerja di syarikat saya bekerja. Kami telah menjemput En. Jimmy Omar dan tiga orang rakannya dari Kelab Pencinta Alam Sabah (KPAS) untuk menjadi fasilitator bengkel empat hari tersebut. Pada hari terakhir, kami telah menjalankan penanaman pokok dan demo penghasilan baja komos dengan menggunakan kaedah Takakura. Ketika demo tersebut, saya kurang memahami cara-cara penghasilan dan juga hasil akhir daripada kaedah tersebut.

Pada awal tahun 2011, saya mulai menjalankan beberapa kajian secara online dengan mengumpul sebanyak mungkin informasi berkaitan dengan kaedah Takakura ini. Saya mencadangkan kepada pihak atasan untuk menjalankan projek baja kompos ini sebagai mini projek kumpulan belia yang telah ditubuhkan di kawasan perumahan syarikat tempat saya berkhidmat. Bermula dari situlah, saya cuba memahami dan menjalankan beberapa percubaan di rumah. Saya berjaya menghasilkan baja tetapi hasil akhir menjadi sangat kering. Projek dimulai dengan penyertaan lebih kurang 28 orang belia ketika demo dijalankan pada bulan Mac 2011. Tiga buah kumpulan telah dibentuk dan mereka menjalankan percubaan baja kompos Takakura mereka di rumah ketua kumpulan masing-masing. Pemantauan telah saya jalankan mengikut tarik-tarikh yang telah dibincangkan. Beberapa mesyuarat juga dibuat untuk membincangkan kemajuan baja kompos setiap kumpulan. Terdapat beberapa masalah telah dialami oleh setiap kumpulan seperti kehadiran ulat di dalam bakul kompos dan tumbuhnya cendawan di bawah bakul kompos. Setelah saya berhenti dari syarikat ini, saya kurang pasti samada setiap kumpulan belia ini berjaya menghasilkan baja kompos atau tidak.

Penghujung tahun 2011 pula saya telah berpindah ke tempat kerja yang baru. Saya tidak lagi menjalankan program bersama belia tetapi saya telah menyarankan kepada pihak atasan untuk menggunakan kaedah kompos Takakura ini bagi mengatasi masalah sampah berulat di kawasan kantin nursery syarikat. Projek ini telah diluluskan oleh pihak atasan dan saya masih lagi mencari info lebih lanjut berkaitan dengan kaedah yang lebih tepat. Saya juga telah membuat satu percubaan di rumah dan saya memang telah berjaya menghasilakan baja dan saya telah gunakan untuk tanaman saya. Baja kompos ini kelihatan berkesan kerana labu-labu di belakang rumah saya terus subur selepas diletakkan baja kompos ini. Namun, saya masih mengalami beberapa masalah dan saya perlu memahami proses biologi dalam menghasilkan kompos.

Lihat video di bawah untuk mengetahui cara menghasilkan baja kompos dengan Kaedah Pengkomposan Takakura ataupun lebih dikenali dengan nama Takakura Home Method (THM). Selamat mencuba dan saya berharap anda juga kongsikan pengalaman anda membuat baja kompos dengan kaedah ini.

 

Saya sangat minat berkebun sejak dari saya kecil lagi. Waktu zaman kanak-kanak saya sudah selalu mengikuti ibu dan kakak-kakak saya berkebun di belakang rumah kami di kampung. Pengalaman sewaktu kecil inilah yang menyebabkan saya masih lagi berminat untuk berbudi kepada tanah. Apabila saya sudah mulai bekerja dan menyewa rumah sendiri, saya cuba untuk mengembalikan minat saya di tempat baru. Walau bagaimanapun, kesibukan bekerja dan juga tanah di kawasan rumah yang tidak subur menjadi kekangan kepada hobi saya ini.

Namun, usaha tetap diteruskan untuk menanam sayur-sayuran untuk dimakan sendiri. Semasa saya bekerja di Sipitang, saya tinggal di kawasan perumahan syarikat tempat saya berkhidmat. Namun, saya mempunyai masalah yang mana, kaki dan tangan saya sensitif terhadap rumput-rumput di luar kawasan rumah saya. Setelah selesai membersihkan rumput, membuat batas dan menanam sayur-sayuran di belakang rumah, kulit kaki dan tangan saya akan menjadi sangat gatal. Ini menyebabkan projek kebun saya di sini terbantut. Walaupun begitu, saya sempat merasa hasil daripada kebun saya di belakang rumah iaitu, bayam merah, kangkung, pegaga, serai, kunyit dan pucuk ubi kayu. Seronok rasanya dapat merasa hasil daripada titik peluh sendiri.

Setelah mengalami masalah gatal-gatal pada kulit kaki dan tangan, saya cuba mencari inisiatif lain iaitu dengan menanam di dalam pasu, polibeg dan mengguna semula botol-botol air mineral 4.5L. Saya telah menanam beberapa jenis herba dan ulam-ulaman sperti pegaga, cili padi, bendi, tomato dan dua jenis lagi herba yang saya kurang pasti namanya. Tetapi, disebabkan adanya tugasan luar beberapa hari, tanaman saya tidak mendapat cukup air, maka tanaman saya mulai kelihatan terbantut. Saya cuma dapat memungut hasil daripada bendi, cili padi dan pegaga sahaja. Walaupun begitu, saya masih berpuas hati sebab sekurang-kurangnya usaha saya berhasil.

Pada masa sekarang, saya sudah berpindah ke tempat kerja yang baru. Saya telah menyewa sebuah rumah yang mempunyai kawasan untuk saya meneruskan minat saya. Pada mulanya, saya agak was-was untuk menanam sayur-sayuran disebabkan terdapat banyak ayam milik jiran-jiran berkeliaran di sekitar rumah. Oleh itu, saya mulakan hanya dengan menanam Aloe vera dan tiga pasu bunga kaktus, dengan meletakkannya di kawasan depan rumah. Di samping itu juga saya telah menaburkan biji-biji labu kuning dan labu putih di bahagian belakang rumah berdekatan dengan tong tadahan air dengan harapan biji benih itu akan tumbuh. Nampaknya saya bernasib baik kerana, beberapa biji benih telah tumbuh. Anak benih kedua-dua jenis labu itu saya jaga dengan menyiram dan meletakkan sisa makanan di pohon anak benih tersebut. Kini sudah lebih kurang tiga bulan lebih, kedua-dua jenis labu tersebut sudah menghasilkan buah. Sebenarnya saya juga menggunakan baja yang saya hasilkan daripada sisa dapur saya dengan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura. Ini akan saya kongsikan dalam entri yang seterusnya. Saya juga telah menanam beberapa jenis herba di dalam pasu iaitu, selasih, misai kucing, daun sup, cili padi dan halia. Tapi, halia dan selasih kelihatan tidak subur. Saya menggunakan tanah hitam yang sudah dicampurkan dengan baja organik daripada pelepah kelapa sawit yang boleh didapati daripada orang kampung berdekatan dengan Kilang Kelapa Sawit Langkon, Kudat. Ini juga akan saya kongsikan dalam entri selanjutnya nanti.

Buat masa sekarang, saya masih belum menuai hasil tanaman saya kecuali daun sup telah saya ambil beberapa kali untuk dicampur dalam sup ayam, segar dan sedap. Buah labu juga kelihatan semakin membesar dan mungkin boleh dituai dalam masa bebarapa minggu lagi. Sampai di sini cerita berkebun kita. Jangan lupa untuk mengikuti cerita seterusnya.

Dari Diari si Pekebun Kecil